Saturday, August 31, 2019

ECOPARK LUBUK YU BERTARAF DUNIA

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita & Keluarga, Komunikasi
& Multimedia Negeri Pahang Yb Dato Seri Shahaniza Shamsuddin
(duduk dua dari kanan) mlepepaskan 1,000 ekor ikan kelah & 10,000
anak ikan lampam ketika hadir merasmikan Hammock Camping Gathering
kali ke 3 di Taman Eko Rimba Lubuk Yu -  Foto Nazirul Roslan


KAWASAN perkelahan Ecopark Lubuk Yu, Kampung Kuala Sentul, Maran, akan dijadikan pusat aktiviti 'hammock' (perkhemahan) peringkat dunia berikutan persekitarannya yang menarik.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Multimedia dan Komunikasi Pahang Datuk Shahaniza Samsuddin berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Belia dan Sukan, kerajaan negeri serta Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan untuk merealisasikan hasrat itu.

Katanya, kawasan Ecopark Lubuk Yu dipilih berikutan kemudahan di pusat perkelahan itu lengkap bagi golongan remaja menjalankan aktiviti serta memenuhi keperluan pengunjung.

"Tambahan pula kerajaan sentiasa mengalu-alukan usaha golongan remaja yang ingin menganjurkan aktiviti riadah selain memberi peluang meningkatkan ekonomi negara," katanya dalam sidang media selepas merasmikan program Hammockers Gathering 2017, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan tidak pernah menolak permintaan golongan remaja untuk menganjurkan aktiviti yang boleh membina sahsiah serta keperibadian generasi muda.

Katanya, pusat perkelahan Lubuk Yu sentiasa diberikan perhatian agensi pembangunan di Maran termasuk pemeriksaan kualiti air oleh Jabatan Kesihatan serta pembersihan kawasan dilakukan Majlis Daerah Maran.

Shahaniza yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul berkata, golongan remaja disaran mengambil peluang mengembangkan perniagaan dalam pelbagai bidang ketika aktiviti berkenaan diadakan.

SUMBER

LUBUK YU JADI DESTINASI PELANCONGAN "HAMMOCK".


TIMBALAN Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin
 (kanan) dan ADUN Kuala Sentul, Datuk Shahaniza Shamsuddin (dua dari kanan)
mencuba duduk di atas buaian gantung selepas merasmikan perhimpunan
Buaian Gantung Pertama di Lubuk Yu. - Foto Luqman Hakim Zubir

MARAN: Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan akan membantu kerajaan negeri Pahang mempromosikan kembali pusat perkelahan Hutan Lipur Lubuk Yu yang sebelum ini terpaksa ditutup berikutan penyebaran penyakit virus kencing tikus.

Timbalan Menterinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, berkata hutan lipur itu yang kaya dengan pelbagai khazanah alam itu akan dipromosikan sebagai satu destinasi eko-pelancongan untuk pengunjung beristirehat di dalam buaian atau "hammock".

Beliau sendiri hari ini berpeluang untuk merasai pengalaman berada di dalam buaian dengan berlatar belakangkan kehijauan alam di hutan lipur ini.

"Keindahan ini perlu dikekalkan dengan adanya program buaian ini. Ia menawarkan satu pengalaman baru yang menarik khususnya bagi pencinta alam semula jadi bukan sahaja dari dalam tetapi luar negara.

"Saya percaya ini akan menjadi daya tarikan baru pelancong untuk ke hutan lipur ini dan Pahang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan 1st Hammock Camping Gathering 2015 di Hutan Lipur Lubuk Yu, Kuala Sentul di sini hari ini.

Majlis turut dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Shahaniza Shamsuddin dan Pengarah Program 1st Hammock Camping Gathering 2015, Laili Basir .
Sejumlah 100 peserta termasuk dari Singapura terbabit dalam program yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini dengan pelbagai acara atau bengkel yang telah dirancang termasuk meredah hutan, berenang dan menyelamatkan nyawa.

Peserta juga akan diajar tentang cara mengambil gambar dengan hasil yang lebih baik menggunakan kamera telefon pintar.
Selain itu Mas Ermieyati berkata konsep 'ilmu itu amanah dan riadah itu ibadah' yang diketengahkan dalam program ini sangatlah tepat dan perlu diketengahkan.

Berikutan itu, katanya kementerian dengan kerjasama agensi yang berkaitan di peringkat negeri akan bekerjasama untuk menjadikan acara itu sebagai program tahunan dengan sasaran untuk menarik lebih 1,000 peserta pada tahun hadapan.

Dalam masa yang sama beliau turut meminta orang ramai agar tidak takut untuk berkunjung ke hutan lipur berkenaan kerana ia telah disahkan bebas daripada penyakit kencing tikus yang berlaku sebelum ini.

LUBUK YU DESTINASI AKTIVITI SANTAI DALAM BUAIAN



MARAN: Pemilihan kawasan perkelahan Lubuk Yu sebagai destinasi eko-pelancongan dan aktiviti berehat dalam buaian atau 'hammock' adalah tepat kerana suasana alam semula jadinya yang masih kekal terpelihara dengan baik.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Shahaniza Samsuddin, berkata selepas perhimpunan peminat aktiviti 'hammock' diadakan dua tahun lalu, kawasan itu terus dikunjungi oleh pelancong dari dalam dan luar negara.

"Kita adakan perhimpunan pertama penggemar aktiviti 'hammock' ini pada tahun 2015 yang dirasmikan Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan selepas itu, kita dapat lihat nama Lubuk Yu mula dikenali oleh kumpulan remaja yang sangat suka aktiviti lasak seperti ini.

"Kemudahan disediakan di sini juga memuaskan dan kita sedang dalam proses melengkapkan beberapa lagi kemudahan yang penting untuk keselesaan pengunjung.

"Kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan bagi merancakkan lagi promosi aktiviti hammock dan Lubuk Yu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan aktiviti 'Hammock Gathering 2017' di sini, petang tadi.

Kira-kira 100 peserta menyertai aktiviti tahunan itu, termasuk dari Singapura.


Mengulas lanjut mengenai aktiviti itu, Shahaniza yang juga ahli dewan undangan negeri (ADUN) Kuala Sentul, berkata pemeriksaan berjadual dijalankan pihak Jabatan Kesihatan Daerah serta kerja pembersihan kawasan juga dilakukan lebih kerap oleh Majlis Daerah Maran (MDM) bagi memastikan kawasan itu sentiasa bersih dan selamat dikunjungi.

"Sebelum ini, kita ada masalah di Lubuk Yu iaitu kes kencing tikus... tapi, selepas disahkan selamat dikunjungi, kita mula mengadakan promosi untuk menarik kembali pengunjung ke kawasan perkelahan ini.

"Kerajaan negeri mengambil pelbagai inisiatif bagi memastikan masalah itu (wabak kencing tikus) tidak berulang dan melalui bantuan serta kerjasama pihak kesihatan (Jabatan Kesihatan Daerah) dan MDM, saya percaya kita dapat halang daripada insiden sama berulang," katanya.

HAMMOCK LUBUK YU GAMIT PENGUNJUNG


MARAN 13 Sept. - Taman Rimba Lubuk Yu di Kuala Sentol di sini akan dipertahankan sebagai destinasi pelancongan berasaskan tarikan alam semulajadi dengan memberi tumpuan kepada aktiviti beristirahat di dalam buaian (hammock) bertaraf dunia.

Ahli Dewan Undangan Ne­geri (ADUN) Kuala Sentol, Datuk Shahaniza Shamsuddin berkata, taman rimba berkenaan popular dalam kalangan pelancong domestik dan antarabangsa yang mengunjungi kawasan itu bagi menenangkan fikiran.

Kata beliau, para pengunjung boleh beristirahat di dalam buai­an yang berlatarkan kehijauan hutan sambil menikmati kicauan burung dan unggas serta tiupan angin sepoi-sepoi bahasa.

“Pencinta alam semulajadi me­ngakui Lubuk Yu sangat unik kerana beralaskan lapisan batuan berusia jutaan tahun yang menjadi laluan air yang mengalir dingin dari Gunung Berantai.

“Tarikan aktiviti beristirahat di dalam buaian hammock yang diperkenalkan sejak 2015 melonjakkan Taman Rimba Lubuk Yu sebagai destinasi wajib dikunju­ngi setiap tahun,” katanya selepas merasmikan Hammockers Gathering 2017 yang disertai lebih 200 orang di sini, baru-baru ini.

Shahaniza yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia negeri berkata, selepas perhimpunan peminat aktiviti hammock dua tahun lalu, Taman Rimba Lubuk Yu terus dikunjungi pelancong dari dalam dan luar negara.

Kata beliau, kawasan rekreasi tersebut turut menyediakan lokasi aktiviti lasak seperti sukan lasak flying fox, berbasikal dan pelbagai aktiviti lain berdasarkan permintaan pengunjung.

“Kemudahan asas seperti bilik solat, tempat berehat, tandas awam dan lain-lain disediakan untuk keselesaan pengunjung. Semua kemudahan yang disediakan ini perlu dijaga bersama de­ngan kerjasama pengunjung yang mempunyai minda kelas pertama,” ujarnya.

Tambah beliau, kerjasama de­­ngan Kementerian Belia dan Sukan dan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan akan dipereratkan lagi bagi merancakkan promosi aktiviti hammock di Taman Rimba Lubuk Yu.

“Jabatan Kesihatan Daerah ju­ga sentiasa membuat pemeriksa­an kualiti air manakala Majlis Daerah Maran (MDM) memastikan kawasan ini sentiasa bersih dan selamat dikunjungi,” kata­nya.

SELAMAT DATANG KE TAMAN RIMBA LUBUK YU ECO PARK



Taman Eko Rimba Lubuk Yu terletak 30 km daripada Bandar Maran dan 100 km daripada Bandar Kuantan. Lokasi Taman Rimba Lubuk Yu berada dalam Hutan Simpan Berkelah adalah tempat yang menarik untuk dikunjungi bagi mereka yang mencari ketenangan dari hiruk pikuk kota. Di sini pengnjung boleh melakukan pelbagai aktiviti seperti berkelah, mandi manda sambil menikmati pemandangan yang menarik.

Taman Eco Rimba Lubuk Yu terkenal dengan aktiviti Hammock dan 2019 adalah tahun ke 5 Hammock Garhering di adakan di sini yang telah menarik perhatian pengunjung dari luar negeri dan tempatan . Hammock Gathering tahun ini akan di adakan pada 14-15hb Sept 2019 bertemakan Hammock fest 2019 "Memasyarakatkan Geologi".

Lubuk Yu Ecopark telah diberikan tanggungjawab Jabatan Hutan Negeri Pahang bagi memastikan kebersihan dan keselamatan pengunjung . Pengunjung dikenakan bayaran masuk yang minima RM 1.00 setiap pengunjung dan percuma bagi kanak kanak berumur 12 tahun ke bawah. Parking kenderaan dikenakan bayaran RM 2.00 dan RM 1.00 bagi motosikal. Tandas dan tempat bersalin pakaian juga dikenakan bayaran RM 1.00 untuk tujuan penjagaan kebersihan dan baikpulih kemudahan asas.

Lubuk Yu Eco Park mengalu alukan sebarang cadangan untuk menambahbaik perkhidmatan bagi melihat Taman Eco Rimba Lubuk Yu menjadi salah satu destinasi yang akan menggamit kedatangan pengunjung bagi menikmati keindahan alam semujadi. Pihak swasta/ perseorangan/jabatan kerajaan yang adalah di alu alukan  untuk mengadakan sebarang event boleh  menghubungi pihak pengurusan di talian  018 9048919 Lubuk Yu Eco Park .


Koordinat:
WGS 84 : N3.7531° , E102.6525°

No. Kecemasan:

• Dial 911
• Hospital Jengka -16 km (609-4662 333 )
• Balai Polis Jengka - 16 km (609-4664 359)
• Balai Bomba Jengka - 16 km (609-4664 359)