MARAN: Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan akan membantu kerajaan negeri Pahang mempromosikan kembali pusat perkelahan Hutan Lipur Lubuk Yu yang sebelum ini terpaksa ditutup berikutan penyebaran penyakit virus kencing tikus.
Timbalan Menterinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, berkata hutan lipur itu yang kaya dengan pelbagai khazanah alam itu akan dipromosikan sebagai satu destinasi eko-pelancongan untuk pengunjung beristirehat di dalam buaian atau "hammock".
Beliau sendiri hari ini berpeluang untuk merasai pengalaman berada di dalam buaian dengan berlatar belakangkan kehijauan alam di hutan lipur ini.
"Keindahan ini perlu dikekalkan dengan adanya program buaian ini. Ia menawarkan satu pengalaman baru yang menarik khususnya bagi pencinta alam semula jadi bukan sahaja dari dalam tetapi luar negara.
"Saya percaya ini akan menjadi daya tarikan baru pelancong untuk ke hutan lipur ini dan Pahang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan 1st Hammock Camping Gathering 2015 di Hutan Lipur Lubuk Yu, Kuala Sentul di sini hari ini.
Majlis turut dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Shahaniza Shamsuddin dan Pengarah Program 1st Hammock Camping Gathering 2015, Laili Basir .
Sejumlah 100 peserta termasuk dari Singapura terbabit dalam program yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini dengan pelbagai acara atau bengkel yang telah dirancang termasuk meredah hutan, berenang dan menyelamatkan nyawa.
Peserta juga akan diajar tentang cara mengambil gambar dengan hasil yang lebih baik menggunakan kamera telefon pintar.
Selain itu Mas Ermieyati berkata konsep 'ilmu itu amanah dan riadah itu ibadah' yang diketengahkan dalam program ini sangatlah tepat dan perlu diketengahkan.
Berikutan itu, katanya kementerian dengan kerjasama agensi yang berkaitan di peringkat negeri akan bekerjasama untuk menjadikan acara itu sebagai program tahunan dengan sasaran untuk menarik lebih 1,000 peserta pada tahun hadapan.
Dalam masa yang sama beliau turut meminta orang ramai agar tidak takut untuk berkunjung ke hutan lipur berkenaan kerana ia telah disahkan bebas daripada penyakit kencing tikus yang berlaku sebelum ini.
No comments:
Post a Comment