MARAN 13 Sept. - Taman Rimba Lubuk Yu di Kuala Sentol di sini akan dipertahankan sebagai destinasi pelancongan berasaskan tarikan alam semulajadi dengan memberi tumpuan kepada aktiviti beristirahat di dalam buaian (hammock) bertaraf dunia.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentol, Datuk Shahaniza Shamsuddin berkata, taman rimba berkenaan popular dalam kalangan pelancong domestik dan antarabangsa yang mengunjungi kawasan itu bagi menenangkan fikiran.
Kata beliau, para pengunjung boleh beristirahat di dalam buaian yang berlatarkan kehijauan hutan sambil menikmati kicauan burung dan unggas serta tiupan angin sepoi-sepoi bahasa.
“Pencinta alam semulajadi mengakui Lubuk Yu sangat unik kerana beralaskan lapisan batuan berusia jutaan tahun yang menjadi laluan air yang mengalir dingin dari Gunung Berantai.
“Tarikan aktiviti beristirahat di dalam buaian hammock yang diperkenalkan sejak 2015 melonjakkan Taman Rimba Lubuk Yu sebagai destinasi wajib dikunjungi setiap tahun,” katanya selepas merasmikan Hammockers Gathering 2017 yang disertai lebih 200 orang di sini, baru-baru ini.
Shahaniza yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia negeri berkata, selepas perhimpunan peminat aktiviti hammock dua tahun lalu, Taman Rimba Lubuk Yu terus dikunjungi pelancong dari dalam dan luar negara.
Kata beliau, kawasan rekreasi tersebut turut menyediakan lokasi aktiviti lasak seperti sukan lasak flying fox, berbasikal dan pelbagai aktiviti lain berdasarkan permintaan pengunjung.
“Kemudahan asas seperti bilik solat, tempat berehat, tandas awam dan lain-lain disediakan untuk keselesaan pengunjung. Semua kemudahan yang disediakan ini perlu dijaga bersama dengan kerjasama pengunjung yang mempunyai minda kelas pertama,” ujarnya.
Tambah beliau, kerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan dan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan akan dipereratkan lagi bagi merancakkan promosi aktiviti hammock di Taman Rimba Lubuk Yu.
“Jabatan Kesihatan Daerah juga sentiasa membuat pemeriksaan kualiti air manakala Majlis Daerah Maran (MDM) memastikan kawasan ini sentiasa bersih dan selamat dikunjungi,” katanya.
No comments:
Post a Comment